Monday, September 19, 2011

Deborah Henry Bawa Semangat Malaysia Boleh....




KUALA LUMPUR, 12 SEPTEMBER 2011: Esok adalah hari penentu, sama ada Miss Malaysia Universe 2011 kebanggaan kita, Deborah Henry, 26 layak dinobatkan sebagai Miss Universe 2011 yang akan berlangsung di Sao Paulo, Brazil.
Sekalian peminat ikon fesyen dan perantara rancangan Bella (NTV7) itu, akan berhimpun di hadapan kaca TV bagi menyaksikan sendiri kewibawaan si manis kacukan Ireland itu menandingini 89 jelitawan dari seluruh dunia.
Detab detub, debaran pastinya semakin dirasai oleh empunya badan itu sendiri yang kala ini sedang bersiap sedia memperkasakan fizikal serta mental sebelum berhadapan dengan hari yang paling bermakna dalam hidupnya.
Namun apa yang pasti, kemunculan Deborah Henry sejak berada di Brazil pada hujung Ogos lalu, telah mendapat perhatian ramai pihak, termasuk juri, media antarabangsa dan juga para peserta kerana keanggunan serta keramahannya.
Global Beauty Special iaitu sebuah website khas yang dicipta khusus untuk pertandingan Miss Universe 2011 telah memilih Deborah Henry sebagai pemenang Miss GB Universe 2011 selepas dinilai menerusi sesi temuramah, pakaian mandi dan juga gaun malam.
Deborah Henry telah mengutip sebanyak 9,788 undian mengatasi Miss France Universe 2011 dan juga Miss Greece Universe 2011, sekaligus melayakkan beliau berada dalam tangga teratas untuk terus beraksi pada acara kemuncak pencarian bertaraf dunia itu.
Selain semangat Jalur Gemilang yang sentiasa tersemat di hati, Deborah Henry turut membawa 3 nama hebat dalam industri fesyen tempatan, iaitu Amir Luqman, Rizalman Ibrahim dan Farah Khan untuk memperindahkan setiap hayunan langkahnya di Brazil.
Sementara itu, beberapa ramalan juga mengatakan Deborah Henry merupakan antara 7 peserta yang layak membawa pulang takhta Miss Universe 2011, di mana beliau akan menyaingi Miss China Universe 2011, Miss France Universe 2011, Miss Philippines Universe 2011, Miss Australia Universe 2011, Miss Greece Universe 2011 dan Miss Costa Rica Universe 2011.
Kelebihan Deborah Henry dikenal pasti kerana memiliki pakej yang lengkap, bijak, mempersona dan paling utama dia telah bersiap sedia. Beliau juga digambarkan sebagai peserta yang mempunyai ciri-ciri Timur-Barat yang paling tepat.
Saksikan dan raikan kemunculan Deborah Henry yang mempersona bersama-sama 88 jelitawan dunia dalam satu acara paling dinanti-nantikan, Miss Universe 2011 yang akan disiarkan di StarWorld (Astro saluran 711) jam 9 pagi esok.
Rancangan bual bicara stesen NTV7, Bella juga akan turut menyiarkan program istimewa sempena temasya berkenaan menerusi slot Bella Live Special yang akan disiarkan selama setengah jam esok, bermula 11.30 pagi hingga 12.30 pagi.

No comments: